Monday, October 7, 2013

Subhanallah



Penghidap kanser tawan Gunung Kinabalu - Berita Harian, 3hb Oktober 2013
Seramai 24 pendaki, termasuk tiga pesakit barah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu sempena kempen, `Klimb For Cancer' yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA), pada 22 September lalu.
Selain tiga pesakit barah, peserta lain membabitkan penderma tetap dana Klimb For Cancer, kakitangan MAKNA dan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Tiga pesakit itu, Rozieana Jorun yang menghidapi leukemia dan penghidap barah tulang, Nazry Hamzah serta penghidap barah kolon, Sagawah Maliban. Selain peserta termuda Zeffereili Helmie, berusia 12 tahun mempunyai semangat yang tinggi sepanjang pendakian itu.
Ternyata, perjalanan mereka memang penuh cabaran dengan laluan sempit, curam, meredah batu granit dan bergantung sepenuhnya pada tali antara dugaan besar yang terpaksa dilalui.
Malah, keberanian dan kecekalan Nazry, yang kehilangan kaki kanannya ketika berusia 16 tahun juga bukan halangannya untuk menamatkan pendakian.
Semangat tinggi
Timbalan Pengurus Besar MAKNA, Vemanna Appannah, berkata laluan curam yang luar biasa membuatkan beliau dan Nazry tiba lewat daripada masa ditetapkan.
Katanya, program Klimb for Cancer ini cukup memberi makna dengan huruf K bererti nama Kinabalu terutama kepada penghidap kanser sendiri yang turut melalui kesukaran dalam perjalanan hidup mereka.
Menerusi kempen itu yang menyasarkan kutipan dana berjumlah RM50,000 akan digunakan untuk membantu pesakit barah yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan.
"MAKNA juga berharap dapat memberi inspirasi kepada perubahan luar biasa dan memberi harapan baru dan kekuatan meneruskan hidup kepada penghidap barah," katanya.
Usaha murni itu juga mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk individu dan korporat menyumbang untuk kempen berkenaan.
Corozene, sudi menaja pakaian pendakian penghidap barah, manakala kemeja T pendaki ihsan daripada Global Gases Malaysia Sdn Bhd, selain beberapa penaja seperti Hari-Hari, iNPublishers, Creative HomeX, Kompleks Karamunsing, Crest Megaway, Puri Ratu, Sawit Kinabalu, Royal Brunei Airlines, SLDB, MAS Wings, Popular Express, Shangri-La Spa & Resort KK, Sutera Habour Resort, Promenade Hotel dan Sabah Parks.

No comments:

Post a Comment