Sebenarnya dah berbulan-bulan aku pendamkan blog ni. Hajat hati nak menulis, tapi tak ada kudrat. Setiap kali dah start separuh jalan, buat u-turn ... off laptop dan biarkan idea padam macam tu aje.
Sebenarnya tidak seronok menulis dan mengenangkan sesuatu yang tidak mengembirakan hati. Itulah sebabnya blog ini hidup segan mati tak mau. Aku takut nak flashback apa yang berlaku, sehingga aku yakin telah benar-benar kuat.
Ok ... insyaallah hari ni aku kuat.
Aku tak tau kenapa aku rasa macam akrab dengan penyakit kanser. Mungkin pengalaman aku melihat penderitaan ibu mertua, Allahyarhamah Hajah Zaleha Bee atau Tok Bee menyebabkan aku agak sensitif dengan penyakit ini. Allahyarhamah menderita kanser hidung selama beberapa tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1990. Aku menyaksikan sendiri bagaimana deritanya Allahyarhamah setelah menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi. Malah akibat tidak tertahan dengan rawatan kimoterapi, Allahyarhamah telah koma selama beberapa hari sebelum meninggal dunia. Semenjak itu aku jadi fobia dengan kanser.
Sejak dari itu aku mula mencari pelbagai maklumat tentang kanser. Aku menjadi Ahli MAKNA seumur hidup dengan menyumbang secara bulanan. Walaupun jumlah sumbangan terlalu kecil, aku ikhlas untuk membantu. Aku tidak mampu menyumbang tenaga kerana kekangan tugasan di pejabat dan komitmen berumahtangga.
Aku juga rajin menjalani pemeriksaan rutin mamogram dan pap-smear. Semasa usia ku masih muda, pemeriksaan hanya dilakukan setiap 3 tahun. Apabila umur makin meningkat, kekerapan pemeriksaan adalah setiap tahun. Alhamdulillah selama beberapa tahun itu, keputusan yang aku terima adalah -ve kanser.
Kemudian aku mula mengenali Allahyarhamah Dalilah Tamrin menerusi blonya "One Breast Bouncing". Aku baca kisahnya melawan kesakitan, kesedihan, kerisauan kepada masa depan anak-anak yang masih kecil, kekuatannya memujuk hati dsbnya. Sesekali aku akan menangis bersamanya dan memberi kata-kata semangat kepadanya. Walaupun tidak pernah bertemu, tetapi media blog menemukan kami. Aku pembaca setia blognya sehinggalah Allahyarhamah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai pesakit kanser payudara pada bulan Julai 2010.
Aku juga merupakan pemerhati jauh kepada seorang anak-muda belasan tahun yang merupakan rakan sekolah anakku Puteri Bongsu. Allahyarham Muhammad Nur Nazari yang menghidap kanser tulang pergi mengadap Ilahi pada usia yang terlalu muda. Aku menangisi pemergian anak ini BACA DI SINI. Aku terasa begitu hampirnya diri ini kepada mati.
Setelah menyaksikan semua itu, bagaimana pula perasaan aku apabila doktor mengesahkan ada sel-sel kanser di payudara kiri ku???
Setelah menyaksikan semua itu, bagaimana pula perasaan aku apabila doktor mengesahkan ada sel-sel kanser di payudara kiri ku???
No comments:
Post a Comment