Friday, October 4, 2013

Permulaan Segalanya

Hari itu, 11 Jun 2013 aku pergi ke Pusat Diagnostik Anda di Bertam untuk ujian mammogram.  Hati aku tenang aje. Yelah, dah rutin tahunan aku menjalani ujian ni, tak ada apa-apa masalah pun. Kalau nak takut pun, kesakitan semasa ujian ini dijalankan.  Kena kepit dengan mesin tu berkali-kali untuk dapatkan gambaran sebenar apa yang ada dalam payudara kita.  Ngeri!!!! Abah menemani aku ke klinik.

mesin mammogram

Ujian dijalankan oleh Pembantu Klinik. Walaupun agak memeritkan, tetapi budibahasa gadis tersebut membuatkan aku tenang.  Kemudian aku dipanggil masuk ke bilik Dr Haniza, Perunding Radiologi untuk membincangkan hasil ujian mammogram tadi.  Di sini hati aku sudah mula gelisah apabila Dr Haniza menyatakan dia perlu melakukan ujian lanjut kerana mammogram tadi menunjukkan terdapat tanda-tanda yang kurang menyenangkan.  Apakah itu? Aku menjalani pula ujian ultrasound.  Berkali-kali alat ultrasound digerakkan di atas payudara sebelum beberapa filem diambil.

Selesai ujian ultrasound, doktor meminta Abah masuk untuk perbincangan lanjut.  Airmata mula bertakung di mata. Jantungku berdebar kencang.  Mungkin Abah dan doktor pun dapat dengar bunyi degupan tu ... dup dap dup dap.  Abah cuba menenangkan aku, dia menggenggam erat tanganku.  Memang aku benar-benar perlu pada sokongan Abah.

Dr Haniza dengan penuh diplomasi menerangkan terdapat tanda-tanda ketulan yang kuatiri kanser di payudara sebelah kiri. Ketulan itu terlalu kecil, bersaiz 0.6 cm dan mempunyai tanda ujudnya 'calcification' yang perlu dikenalpasti samada merbahaya atau sebaliknya BACA SINI  Untuk lebih pasti, aku perlu menjalani prosedur biopsy di mana sebahagian daripada ketulan itu akan diambil dan diuji dimakmal.

Dia segera menelefon Hospital Seberang Jaya untuk menetapkan temujanji. Alhamdulillah, klinik payudara hospital beroperasi petang ini.  Aku perlu ke sana untuk prosedur selanjutnya.

Sebelum berpisah, Dr Haniza memberikan kata-kata semangat kepada aku, meminta aku berdoa supaya kuat menghadapi apa jua keadaan.  Dia memeluk aku erat.

Hairannya aku masih kuat. Hanya airmata yang mengalir, tetapi hati dan otak ku terasa kosong.  Aku belum betul-betul digest maklumat yang aku terima agaknya, aku terasa seolah-olah baru bangun dari mimpi buruk.

No comments:

Post a Comment