Saturday, October 26, 2013

Debaran Dan Ketakutan

Penantian adalah satu penyiksaan.  Benar sekali kerana itulah yang aku rasa sepanjang menunggu keputusan biopsi tersebut.  Aku asyik berperang dengan perasaan.  Kadang-kadang aku jadi begitu positif. Insyaallah, bukan semua ketumbuhan yang ditemui tu kanser. Doktor yang bagitau begitu, kebanyakan daripada ketumbuhan yang ditemui itu adalah jenis benign atau bukan kanser ... mudah-mudahan.

Lagipun tak ada apa yang patut aku risaukan. Aku bukanlah termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk kena mendapat kanser payudara.  Aku berkahwin dan melahirkan 3 anak pada usia muda. Aku menyusukan ketiga-tiga anak itu.  Aku tak ada pun keluarga terdekat mengidap kanser payudara.  Aku tak merokok atau mengambil benda terlarang.  

Tetapi .... aku tidak mengamalkan cara hidup sihat.  Macamana tu?  Aku malas bersenam.  Aku tak jaga diet, makan jer apa terasa sedap di tekak.  Hrmmm ... alah ramai juga oranglain lagi teruk dari aku, tetapi tak kena pun kanser payudara .... aku mula mencari alasan menyedapkan hati.

Kadang-kadang pelbagai bentuk perasaan takut menyelinap dalam diri.  Bagaimana kalau hasil tu aku positif kanser payudara. Kesian pada Emak, tentu dia risau teramat sangat.  Tentu penyakitnya akan datang balik kalau dia tau aku ada kanser.  Kesian pada Abah, kalau sah aku ada kanser, tentu payudara ku akan dibedah, lagi teruk kalau perlu dibuang. Macamana penerimaan Abah nanti, masih cinta ke dia pada aku bila aku dah kehilangan aset penting seorang wanita? Kesian anak-anak ku.  Mereka semua perempuan yang berisiko tinggi kalau ibu mereka seorang pesakit kanser payudara.  Adakah mereka akan salahkan aku?

Ya  Allah, hapuskanlah  ketakutan ini Ya Allah.  Peliharalah aku Ya Allah,  semoga aku dilindungi dari apa yang sangat aku takuti.


Bila aku risau, aku luahkan perasaan itu pada Abah dan Kakngah sebab mereka aje yang duduk bersama aku di rumah.  Selalu aku diminta menepis perasaan itu. Abah akan kata, "Buat apa pening-pening kepala, bukan confirm pun itu kanser.  Insyaallah tak ada apa-apalah. Berdoa banyak-banyak".  Terimakasih Abah,  lega sebentar kerisauan aku.

No comments:

Post a Comment