Monday, December 23, 2013

Berilah Aku Peluang Ya Allah .... 20 Julai 2013

Aku tetap menjalankan ibadah puasa seperti biasa.  Aku tetap menunaikan solat tarawih sperti biasa. Masjid Perai kebiasaannya mengadakan solat tarawih 8 rakaat diikuti sunat witir. Selesai witir akan diadakan tazkirah selama 30 minit.  Bermacam-macam topik dibincangkan,  semuanya berkaitan ibadah wajib dan sunat di bulan yang mulia ini.

Cuma aku tidak seperti sebelum ini. Dulu aku sedaya upaya fokus kepada ilmu yang disampaikan oleh Ustaz penceramah yang dijemput khas dari daerah-daerah lain di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Tapi pada Ramadhan ini, kadang-kadang aku terlalai semasa tazkirah berlangsung. Macam-macam aku fikirkan.  Aku fikirkan tentang macamana anak-anak aku kelak.  Siapa nak sediakan persiapan berpuasa dan berhari-raya.  Macaman Abah semasa aku di hospital kelak. Nak bagitau Emak kah?  Nanti darahnya naik mendadak ... fuhhh, takut aku memikirkan kalau apa-apa terjadi pada Emak kerana terkejut dan dukacita mendengar masaalah aku.

Aku tahu kelemahan Abah.  Masaalah utamanya Abah tak tahu memasak langsung, hattta menggoreng sebiji telor sekali pun!!!  Tapi Kakngah kan masih menganggur, nanti bolehlah dia masak  yang simple untuk Abah. Abah bukanlah cerewet sangat orangnya.

Nanti untuk hariraya, belilah kuih-muih. Ada macam-macam jenis di supermarket, di market atau di pasar Ramadhan, cuma kena pilih yang sedap dan murah.  Ketupat dan rendang tempah aja. Atau minta tolong Teh (kakak Abah) masakkan untuk kita. 

Tapi macamana kalau ada komplikasi semasa pembedahan.  Mungkin aku akan ..... Ya Allah,  aku takut Ya Allah, sakit dada memikirkannya.  Tentu Abah, Emak dan ketiga-tiga puteri ku akan kesedihan menerima dugaan itu kelak.  Kesiann mereka.

Astagafirullah hal azim. Jauhnya perjalanan aku semasa sesi tazkirah berlangsung.  Ya Allah ampunkan dosa aku mengelamun semasa berada di taman syurga ini.  Berikan aku ketenangan Ya Allah.  Berikan aku kekuatan menghadapi pembedahan ini.  Aku pohon kasihsayang Mu Ya Allah, permudahkan proses pembedahan dan penyembuhan kelak.  Berikan aku peluang dan kesempatan untuk terus beribadah kepadaMu Ya Allah.  Aku mahu bertemu Ramadhan yang akan datang, aku mahu gandakan lagi ibadah yang tidak sempurnakan pada tahun ini. Aku mahu berkunjung lagi ke Tanah Suci Mu Ya Allah, aku mahu menziarah kekasihMu Nabi Muhammad SAW sekali lagi Ya Allah. Aku mahu terus berbakti kepada Abah dan Emak, aku mahu terus menyulam kasihsayang dengan anak-anak ku Ya Allah. Berikan aku kesempatan untuk menambah amalan ku. Berikan aku kesempatan untuk memperbaiki akhlak ku Ya Allah.  Ya Allah malunya aku, meminta terlalu banyak dari Mu Ya Allah. Tetapi aku tidak punya yang lain selain daripada Mu Ya Allah.  Hanya kepada Mu tempat aku menyembah dan memohon bantuan dan pertolongan.  Perkenaankan doa ku Ya Allah. Amin ya Robbil alamin.

(Kredit kpd Mazana atas slide yang bermanafaat ini)

Sunday, December 22, 2013

Aku Pasrah ... 18 Julai 2013

Lama juga aku tertidor.  Pukul 9 pagi baru tersedar.  Aku rasa dunia begitu damai, hati begitu tenang. Aku bangun mandi dan solat dhuha, seterusnya solat hajat.  Semasa sujud terakhir solat hajat, aku memohon petunjuk dari Allah untuk membuat pilihan yang paling tepat dalam hidup ku.

Selesai dengan ibadah sunat ku, aku duduk di hadapan Abah yang sedang membaca akhbar.  Dengan tenang sekali aku cakap pada Abah, "I rasa setuju nak buat pembedahan serta-merta.  Lagi I tunggu lagi kepala serabut.  You setuju ker Abang?"  ternyata Abah gembira dengan keputusan aku.  Kata Abah, kalau aku simpan pun kesakitan itu, ianya tak akan mengubah apa-apa kepada kebaikan.  Tapi yang pasti, semua orang akan stress.  Aku stress kerana tahu kuman kanser ada dalam badan aku dan ia mungkin sedang merebak.  Abah dan anak-anak akan stress melihat aku berduka-lara.  Keadaan akan jadi tidak normal lagi.

Dengan restu Abah,  aku menelefon Sister Jus.  Aku terangkan bahawa aku bersetuju untuk menjalani pembedahan serta-merta.  Tak perlu tunggu sehingga selepas Aidil-fitri.  Aku dengar suara Sister Jus begitu ceria,  katanya aku membuat keputusan yang sangat bijak.  Dia akan hubungi aku semula setelah mendapat persetujuan dari doktor pakar bedah.

Kira-kira 2 jam kemudian, Sister Jus menghubungi aku semula.  Dia menyampaikan ucapan tahniah dari doktor kerana mengambil keputusan yang tepat sekali.  Aku diminta datang ke hospital untuk pelbagai prosidur pra pembedahan  :-

1.  22 Julai    -  menjalani ujian darah,  ECG dan x-ray

2.  23 Julai    -  pertemuan dengan doktor Klinik Pakar 2 dan doktor Pakar Bius

3.  24 Julai    -  masuk ke Wad Hospital Kepala Batas untuk persiapan sebelum pembedahan

4.  25 Julai    -  pembedahan mastektomi di Hospital Kepala Batas

Sebenarnya semua prosidor berkaitan pembedahan adalah dijalankan oleh pakar-pakar dari Hospital Seberang Jaya. Disebabkan operation theater Hospital Seberang Jaya sedang diubahsuai, maka pembedahan terpaksa dilakukan di Hospital Kepala Batas untuk sementara waktu.

Aku bersedia untuk menghadapinya.  Aku yakin Allah akan memberikan kekuatan dan kesembuhan kepada aku.  Semoga usaha, doa dan tawakkal ini mendapat ganjaran kebaikan daripada Yang Maha Esa. Aminn.

Wednesday, December 11, 2013

Hari Yang Dibasahi Airmata - 17 Julai 2013

Sepanjang perjalanan pulang dari hospital aku menangis. Hatiku terlalu hiba, bercelaru bercampur-baur rasa. Aku rasa sedih, aku takut, aku  terkjeut, aku keliru!!!  Aku tak dapat lari dari memikirkan seriuskah kanser aku?  Sudah sampai tahap mana? berapa lama lagi aku dapat hidup? haruskan aku menanggung kesakitan pembedahan, chemotherapy, radiotherapy, ubat-ubatan.  Macamana Abah, anak-anak aku, emak .... macamana mereka nak menerima keadaan aku?  Ohhh Tuhan!!!

Sewaktu menunaikan solat Asar, aku merintih mengadu kepada Yang Esa.  Ya Allah, kenapakah dugaan ini datang kepada aku. Apakah besarnya dosa ku Ya Allah hingga aku dihukum begini. Jika aku berdosa Ya Allah, Engkau ampunkan segala dosaku Ya Allah.  Jangan tinggalkan walau sebesar zarah dosa yang menghantui kehidupan aku.  Berikan aku peluang untuk bertaubat Ya Allah.  Engkau kurniakan aku keampunan dan keredhoanMu.

Atau Engkau ingin menduga keimanan ku Ya Allah?  Kurniakan aku iman yang teguh dan kukuh, kesabaran yang tinggi, sifat tawaduk kepada Mu Ya Allah. Jauhi aku dari hati yang penuh rasa marah, dari rasa resah, dari menyesali takdir ini. Engkau lapangkan dadaku Ya Allah menerima musibah ini.

Atau Engkau mahu mengangkat darjat ku Ya Allah.  Alhamdulillah, kurniakan aku kedudukan yang tinggi di sisi Mu. Perbaiki akhlak ku Ya Allah, hapuskan sifat-sifat mazmumah dari diri ini dan hiasi aku dengan-dengan sifat-sifat mahmudah.   Jadikan aku hambaMu yang solehah.

Sekejap hati ku tenang mengingati bahawa aku insan terpilih menerima dugaan ini.  Tetapi apabila iblis dan syaitan dapt menyelit di celah-celah hati, aku jadi gelisah semula. Aku amat bimbang aku jadi kufur kerana mempersoalkan takdir.  Astagafirrullah, ampun keterlanjuranku Ya Allah. Selamatkan aku dari bisikan dan  hasuta iblis dan syaitan yang direjam dan dilaknatkan.



Begitulah aku sepanjang malam. Tidak mampu tidur nyenyak.  Akhirnya aku habiskan malam itu di atas sejadah dengan menangis, merayu dan merintih memohon keampunan dan petunjuk dari Yang Maha Esa.  dalam sujud tahajud, taubat dan hajat, aku panjatkan doa tak berhenti-henti. Pada siapa lagi harus aku merayu selain daripada Mu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar. Sedar-sedar telah masuk waktu bersahur.  

Aku tahu Abah memerhati diriku.  Mula-mula dia hanya membiarkan aku untuk melalui tempoh bertenang, tetapi dia juga tahu aku tidak mungkin dapat bertenang.  Aku gelisah siang dan malam. Akhirnya Abah membuka mulut.  Abah meminta aku tabah menerima takdir ini.  Aku perlu yakin dengan aturan hidup yang telah ditetapkan untuk aku. Jangan cuba menyalahkan takdir, jangan menyesali takdir yang telah tertulis.  Abah mahu aku melihat sisi positif dugaan ini.  Kanser bukan  bermakna hidup kita telah musnah.  Ramai yang berjaya menentang kanser dengan izin Allah. Yang penting aku mesti positif, berusaha mencari penawarnya.

Ohhh ... terima kasih Abah. Aku peluk Abah dan menangis sepuas-puasnya. Rasanya aku tumpahkan semua kesedihan aku di atas bahu Abah. Terimakasih sayang kerana memahami perasaan aku, kerana memahami aku perlukan kata-kata peransang dan dorongan untuk mengembalikan semangat aku. Selepas solat subuh aku melelapkan mata. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa mengantuk yang teramat sangat.

Punca kanser dari microwave dan kanser payudara | Blog Hairul

Punca kanser dari microwave dan kanser payudara | Blog Hairul