Monday, November 18, 2013

Akhirnya ... Terimalah Kenyataan Ini - 17 Julai 2013

Selepas biopsi tempoh hari, aku sepatutnya mendapat keputusannya dalam tempoh 2 minggu.  Tetapi entah di mana silapnya, keputusannya tidak diperolehi mengikut jadual. Pergi 2 Julai belum dapat lagi. Datang semula 9 Julai pun tak dapat lagi.  Mula-mula tu aku memang berkeyakinan tinggi juga .... Insyaalllah semua ok. Tapi bila keputusan tertunda-tunda macam ni, aku mula rasa cuak.  Ada masalah ker?  teruk sangat ker sel aku sampai doktor takut nak tulis keputusan biopsi.  Ataau ... bla bla bla,  aku mula bermain dengan perasaan negatif.

Kali ketiga aku mengadap doktor pada 17 Julai. Hari ni entah kenapa hati aku tak begitu tenteram.  Aku mula merasakan ada perkara tidak baik akan aku hadapi.  Apakah itu???  Ya Allah Ya Robbi Ya Latiff ... Engkau bantulah aku walau apa jua keadaannya.  Kakak aku Yong menelefon aku memberi kata-kata semangat. Begitu juga adik aku Nita meminta aku berdoa semoga semuanya baik-baik.  Abah dan Kak Ngah yang menemani aku hari itu turut memahami perasaan aku, mereka meramas-ramas tanganku untuk memberi kekuatan. Terima kasih semua atas sokongan moral yang diberikan.  

Tepat pukul 4.30 petang aku masuk berjumpa doktor.  Manis doktor ni.  Sambil mengucapkan salam dan bertanya khabar dia membuka fail aku.  Setelah membaca laporan yang terbentang di depannya, dia meminta diri sambil membawa keluar fail itu.  Kenapa ni?? Debaran jantungku semakin kuat. Terasa suhu bilik ini terlalu sejuk.  Kebetulan hari ni 8 Ramadhan,  perut aku kosong, badan lagi bertambah sejuk.

Beberapa minit kemudian doktor manis ini datang semula (kerana gabra aku terlupa nak pandang nametag di dadanya).  "Puan, boleh ikut saya berjumpa doktor pakar?"  What?  Aduhhh ... perut ku terasa senank. Apakah ini?  Kenapa perlu jumpa doktor pakar.  Fikiranku bercelaru sehinggalah sedar-sedar aku sudah berada di hadapan doktor pakar  tersebut.

"Puan datang dengan siapa?"  tanya doktor tersebut. "Suami" jawabku pendek. "Boleh panggil suami masuk untuk kita bincang sama-sama?"  Aku terus menjenguk keluar.  Pesakit lain dah ramai yang pulang rupanya, klinik hampir kosong. Aku menggamit Abah masuk. Ya Allah apakah yang sedang berlaku??? Aku takut!!!

"Assalamulaikum,  nama saya Miss Azlina, pakar bedah di sini.  Keputusan biopsi kita dah dapat.  Maaf satu bulan baru kami dapat keputusan ni. Biasanya satu minggu jer.  Puan bekerja?"  Ahh doktor ni cuba berbasa-basi pulak. Lepas tu ditanya pulak tentang sejarah keluarga yang ada kanser.  Ditanya rutin membuat mamogram. Aku rasa aku menjawab semua soalan secara separuh sedar sebab otak aku dah tak boleh fokus.  Aku lebih berminat nak tau apa keputusan biopsi tu.  Positif atau negatif kanser.  Itu ajer??

"Daripada laporan biopsi ni kita dapati terdapat sel-sel kanser di payudara kiri puan ...." Ya Allah, Ya Allah ... tanpa sedar aku menyebut Allah berkali-kali. Airmata aku berjujuran jatuh. Abah segera mendekati aku dan menepuk-nepuk bahu aku dan cuba menenangkan aku.  Kenapa mesti aku positif kanser? Tak ada keturunan aku menghidap kanser payudara.  Aku menyusukan semua anak-anak ku.  Aku bukanlah jahat sangat untuk dihukum begini.  Aku, aku, aku ... Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah, kenapa aku mempersoalkan hak Mu Ya Allah. Ampunkan keterlanjuranku Ya Allah ... aku bermonolog sendiri-sendiri.



"Puan ada dua alternatif.  Pertama puan boleh buang di tempat yang ada sel kanser tersebut sahaja. Kedua puan boleh buang semua payudara kiri puan.  Tetapi saya berpendapat alternatif pertama tu agak mustahil sebab sel puan terlalu kecil dan tersorok-sorok di balik tisu-tisu payudara. Kalau ianya keras seketul, senang kami terus tuju ke tempat tersebut.  Saya cadangkan puan buat prosedur mastektomi buang keseluruhan payudara kiri" terang Miss Azlina lancar.

"Apa kelebihan alternatif kedua ni" tanya Abah.  Terimakasih Abah kerana tolong bertanya bagi pihak ku. Aku dah jadi kelu.

"Jika kita buat mastektomi, kita buang keseluruhan payudara. Ini bermakna bukan saja sel berkenaan kita buang, tetapi juga semua urat-urat darah dan saraf-saraf yang berhubung dengan payudara. Kita harap tidak ada sel yang akan terlepas melalui saluran darah atau saraf pergi ke kawasan lain seperti tulang, paru-paru, hati dan sebagainya.  Kalau kita buang sedikit saja, kemungkinan ada baki-baki sel yang tertinggal dan akan merebak ke tempat lain.  Ditakuti puan perlu pembedahan sekali lagi selepas itu.  Saya cadangkan kita buat pembedahan secepat mungkin.  Nurse boleh tengok bila paling cepat kita boleh buat operations?"  kata Miss Azlina.

Aku terus memandang Abah, terkejut.  Abah kata "Buatlah yang terbaik Ma, buat apa nak simpan, nanti dia merebak lagi teruk"

"Ok, doktor saya setuju nak buang terus payudara kiri ni. Tapi saya tak mau buat sekarang. Bolehlah tunggu selepas raya?" rayu ku.

"Ehh kenapa puan?  Sebaiknya jangan bertangguh sebab kita tak pasti sel ni merebak cepat atau lambat. Kalau puan setuju, kami boleh buat operations ni minggu depan. Ada kosong 25 Julai. Puan ada masalah ker?" tanya Miss Azlina penuh simpati.

Dalam esak tangis aku berkata "Saya kesian anak-anak doktor.  Kalau saya operations sekarang, seolah-olah saya spoil mood raya mereka".  Sebenarnya aku kesian pada Abah juga.  Kalau aku sakit, macamana dia nak sahur?  Siapa nak siapkan hidanagan berbuka puasa untuknya.  Kalau aku operations, tentu anak-anak ku tak berhariraya, kesian mereka. Baju raya masing-masing dah buat tiga pasang.  Semua buat design sendiri.  Kuih pun dah plan nak buat bila semua berkumpul sebelum raya nanti. Macamna kalau aku sakit terlantar?

"Ok la puan. Kalau macam tu, kami bagi tarikh baru yer.  Yang ada kosong selepas raya cuma 21 Ogos.  Lambat lagi tu.  Kalau puan tukar fikiran bagitau kami cepat-cepat yer" lembut Miss Azlina berkata.  Sambil bersalaman meminta diri, aku tak mampu membendung akhirmata. Ucapan terima kasih pun tak mampu aku ucap. Dia menggemgam erat tanganku sambil memberi kata-kata semangat.

Keluar dari bilik itu aku terus duduk di kerusi pesakit menunggu sambil menangis. Kak Ngah segera memeluk ku. Abah menggenggam erat tangan ku. Aku tak peduli kalau ada pesakit lain memandangku ketika itu.  

"Puan, saya Sister Jus, mari ikut saya ke bilik".  Aku, Abah dan Kak Ngah segera mengikut Sister Jus ke bilik yang yang terletak di hujung Klinik Pakar 2 ni. Di sana seorang wanita berusia lingkungan 40-an sedang menunggu.  Sekali lagi mereka memperkenalkan diri. Sister Jus ialah Ketua Jururawat di Klinik Pakar 2, manakala Ina pula ialah bekas pesakit kanser payudara yang kini berkhidmat secara sukarela di Pusat Jagaan Harian (Kanser).

Kedua-dua mereka memberikan kata-kata semangat supaya aku yakin untuk mejalani pembedahan.  Ina menceritakan pengalamannya kepada aku dan meyakinkan aku bahawa yang mampu melawan kanser ialah diri kita sendiri, dengan izin dari Allah. Mereka berdua memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya aku ingin berkongsi masalah atau mendapatkan maklumat atau nasihat.

Aku melangkah pulang hari itu dengan hati yang bengkak. Inilah yang amat aku takuti ... kanser. Tetapi aku perlu menghadapinya, aku tidak mampu lari lagi.