Wednesday, October 30, 2013

Kita Kembali Berjoging

Semenjak aku menerima keputusan mamogram tempoh hari, mood aku untuk berjoging tenggelam terus. Kebetulan pula waktu tu hampir bulan Ramadhan.  Sedar-sedar dah 4 bulan aku peramkan lemak-lemak di seluruh tubuh ku.

Memang mula-mula dulu aku mengalami masalah hilang selera makan.  Aku makan semata-mata untuk pastikan perut tak kosong sebelum makan ubat.  Tetapi selepas luka pembedahan sembuh, secara tiba-tiba selera makan aku naik mendadak.  Tiba-tiba aku jadi rajin masak makanan kegemaran aku.  Sekejap lontong, mee kari, rendang pedas, makaroni bakar dan lain-lain ... yang kesemua menunya jenis lemak berkerim.

Tapi bila semua orang dah tegur badan aku dah makin naik, aku mula jadi cuak. Sengaja aku berdiri di depan cermin menganalisa tubuh badan ... huuuu, macam nak pitam tengok imej sendiri. Lengan dah makin gemuk, perut dah makin buncit.  Lagi-lagi pula terasa pergerakan pun dah semakin kurang cergas.



Aku paksa diri pakai baju sukan, sarung kasut sukan dan .... terus joging di Taman Tunku Seberang Jaya. Kalau dulu aku mampu buat 4 pusingan, hari pertama ni aku hanya mampu 2 pusingan aje. Balik dari joging aku mengalami kejang urat kaki. Aduhhhh, dah lama sangat urat-urat tu relaks, dah malas nak bangun.  Tak apa, we start small, hari ni 2 pusingan, beberapa sesi lepas ni pun mungkin 2 pusingan, bila dah steady sikit, aku akan tambah jadi 3 pusingan pulak.  Dah serasi 3 pusingan, aku akan tambah pulak jadi 4 pusingan. Kalau ikutkan, lengkap 7 pusingan barulah mencapai tahap 10,000 langkah yang disarankan untuk kesihatan badan.  Tungguuuu!!!



Aku percaya,  bukan jarak dan masa yang penting sangat, tetapi consistency.  Aku akan pastikan terus berjoging  sekurang-kutangnya 3 kali seminggu dengan setiap sesi mengambil masa lebihkurang 45 minit. Insyaallah.

Saturday, October 26, 2013

Debaran Dan Ketakutan

Penantian adalah satu penyiksaan.  Benar sekali kerana itulah yang aku rasa sepanjang menunggu keputusan biopsi tersebut.  Aku asyik berperang dengan perasaan.  Kadang-kadang aku jadi begitu positif. Insyaallah, bukan semua ketumbuhan yang ditemui tu kanser. Doktor yang bagitau begitu, kebanyakan daripada ketumbuhan yang ditemui itu adalah jenis benign atau bukan kanser ... mudah-mudahan.

Lagipun tak ada apa yang patut aku risaukan. Aku bukanlah termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk kena mendapat kanser payudara.  Aku berkahwin dan melahirkan 3 anak pada usia muda. Aku menyusukan ketiga-tiga anak itu.  Aku tak ada pun keluarga terdekat mengidap kanser payudara.  Aku tak merokok atau mengambil benda terlarang.  

Tetapi .... aku tidak mengamalkan cara hidup sihat.  Macamana tu?  Aku malas bersenam.  Aku tak jaga diet, makan jer apa terasa sedap di tekak.  Hrmmm ... alah ramai juga oranglain lagi teruk dari aku, tetapi tak kena pun kanser payudara .... aku mula mencari alasan menyedapkan hati.

Kadang-kadang pelbagai bentuk perasaan takut menyelinap dalam diri.  Bagaimana kalau hasil tu aku positif kanser payudara. Kesian pada Emak, tentu dia risau teramat sangat.  Tentu penyakitnya akan datang balik kalau dia tau aku ada kanser.  Kesian pada Abah, kalau sah aku ada kanser, tentu payudara ku akan dibedah, lagi teruk kalau perlu dibuang. Macamana penerimaan Abah nanti, masih cinta ke dia pada aku bila aku dah kehilangan aset penting seorang wanita? Kesian anak-anak ku.  Mereka semua perempuan yang berisiko tinggi kalau ibu mereka seorang pesakit kanser payudara.  Adakah mereka akan salahkan aku?

Ya  Allah, hapuskanlah  ketakutan ini Ya Allah.  Peliharalah aku Ya Allah,  semoga aku dilindungi dari apa yang sangat aku takuti.


Bila aku risau, aku luahkan perasaan itu pada Abah dan Kakngah sebab mereka aje yang duduk bersama aku di rumah.  Selalu aku diminta menepis perasaan itu. Abah akan kata, "Buat apa pening-pening kepala, bukan confirm pun itu kanser.  Insyaallah tak ada apa-apalah. Berdoa banyak-banyak".  Terimakasih Abah,  lega sebentar kerisauan aku.

Friday, October 25, 2013

Prosedur Biopsi - 12 Jun 2013

Tepat pukul 2 petang aku dah berdiri di kaunter pendaftaran di Jabatan Pengimejan Diagnostik  (JPD). Memandangkan aku tidak mempunyai sebarang rekod tentang sejarah kesihatan diri, aku perlu menjalani ujian saringan darah dan air kencing dahulu.  Bagi memastikan prosedur biopsi dapat dilakukan petang ini juga, aku perlu pergi sendiri ke beberapa tempat yang ditetapkan untuk mendapatkan laporan kesihatan diri. Dengan membawa sekeping surat dari doktor JPD yang bertulis URGENT, aku pergi ke Klinik Pakar 2 untuk mengambil darah dan air kencing.  Botol-botol berisi sampel itu kemudiannya aku serahkan kepada Unit Patologi yang akan menjalankan ujian makmal bagi mencatatkan kandungan gula, jenis darah, tahap hemoglobin dan pelbagai maklumat penting daripada sampel darah dan air kencing tadi.  

Memandangkan keputusan hanya akan siap dalam tempoh 1 jam, aku dan Abah pergi ke kantin untuk makan.  Tengah hari tadi aku tidak berselera langsung untuk makan.

Oh yer, sebelum terlupa, nak tau juga apa fungsi Klinik Pakar 2 tu.  Klinik ini menyediakan perkhidmatan klinikal dalam program perawatan pesakit terutama sekali pembedahan am.  Antara kes-kes yang dirujuk di sini ialah pembedahan, perkhidmatan endoskopi, klinik payudara, klinik tyroid, rawatan harian, kaunseling pesakit kanser dll.  

Apa pula biopsi.  Biopsi merupakan satu-satunya cara yang paling tepat untuk mengesahkan sama ada ketidaknormalan payudara itu adalah benigna (tidak berkanser) atau malignan (berkanser).  “Biopsi payudara stereotaktik adalah alternatif kepada pembedahan biopsi terbuka dengan kadar ketepatan yang sama tinggi. Ia menggunakan sinar-X stereo iaitu sinar-X yang diambil dari pelbagai sudut.  “Secebis sampel tisu payudara yang disyaki akan ditempatkan menggunakan sistem pengimejan berpandukan komputer dan dikeluarkan melalui jarum biopsi khas

Setelah 1 jam menunggu, kami kembali ke Unit Patologi.  Alhamdulillah, laporan ujian darah telahpun siap. Aku segera menyerahkan laporan tersebut kepada JPD.  Aku diminta berbaring di bilik pembedahan. Pakaian dibuka dan badanku ditutup dengan kain hijau.  Di sekeliling ku penuh dengan peralatan yang menggerunkan, aku nampak pelbagai jenis gunting, jarum, besen, kain, pembalut, mesin-mesin pengimbas. Ohhhh terasa senak perut waktu itu.

Dua orang doktor wanita yang berwajah manis datang memberi slam dan menerangkan prosidur yang akan mereka jalankan.  Mereka meminta aku bertenang dan berzikir sepanjang prosidur berlangsung.  Aku disuntik dengan ubat bius setempat sebelum jarum dicucuk masuk ke dalam payudara. Doktor pertama menggerakkan alat scanner dan memberi arahan kepada doktor kedua untuk menghalakan jarum tadi ke arah tisu yang disyaki mengandungi  ketumbuhan kanser.  Memandangkan ketumbuhan tersebut terlalu kecil, mereka memberitahuku agak susah untuk mereka mendapatkan walau sedikitpun tisu yang disyaki.

Sesekali pergerakan jarum di dalam payudara menyebabkan aku terasa sakit walaupun telah dibius. Mujurnya kedua-dua doktor ini sangat mesra, sambil mereka berusaha mendapatkan tisu, mereka berbual-bual dengan aku. Secara tidak langsung terasa kurang sedikit ketakutan dan kesakitan yang terpaksa di tanggung.

Setelah puas memusing jarum dan alat scanner di keseluruhan payudara kiriku, mereka berhenti kira-kira 1 jam kemudian.  Jururawat segera membersihkan luka dan menutup lubang tempat jarum dimasukkan. Menurut doktor kemungkinna darah akan berhenti dalam masa 24 jam. Aku diminta membersih diri seperti biasa.  Kebiasaannya kesan luka dan lebam di payudara itu akan berkekalan untuk beberapa hari.

Aku diminta kembali ke Klinik Pakar 2 dalam tempoh 2 minggu untuk mendapat keputusan ujian biopsi ini. Ya Allah, aku mengharapkan bantuanMu Ya Allah, selamatkan aku dari penyakit yang amat aku takuti ini. Semoga hasil biopsi nanti adalah negatif kanser.  Ameen

Wednesday, October 23, 2013

Langkah Seterusnya


Pukul 2 petang,  11 Jun 2013 aku dan Abah pergi ke Klinik Pakar 2.  Buat pendaftaran sebagai pesakit baru.  Beri IC dan beri kad pencen .... dapatlah rawatan secara percuma.  Itulah kelebihan yang dinikmati pesara kerajaan.

Aku perhatikan ramainya pesakit menunggu giliran.  Ada yang tua, muda ... Melayu, China dan India. Sahlah masalah berkaitan kanser payudara ni dah jadi common problem kepada masyarakat Malaysia.  Dia tak memilih mangsa. Tunggu dulu, sabar, sabar .... aku belum pun lagi disahkan sebagai pesakit kanser payudara kan?  semoga Allah memberi perlindungna kepada aku, suami dan anak-anak ku dari pembunuh senyap ini.

Setelah hampir 90 minit menunggu barulah tiba giliran aku.  Seorang doktor muka (rasanya houseman kut) Dr Ramesh memeriksa aku.  Malunya tak terperi terpaksa mendedahkan payudara untuk diperiksa dan disentuh kiri dan kanan.  Dia menyebut ":tak jumpa apa-apa lump pun".  Memang pun tidak ada sebarang ketulan dapat dirasa, sebab ianya terlalu kecil. Perkara yang sama disebut oleh Dr Hanizah juga.

Dr Ramesh mengaturkan untuk aku membuat pemeriksaan lanjut di Klinik Pengimejan Diagnostik untuk menjalani prosedur biopsi.  Prosedur ini untuk mengambil sampel tisu di payudara bagi memastikan ianya mengandungi sel kanser atau sebaliknya.

Dia memberikan satu surat untuk dibawa ke Klinik tersebut bagi menetapkan tarikh menjalani prosedur tersebut.  Aku dan Abah terus pergi ke Klinik tersebut yang terletak di aras yang sama. Memandangkan ini kali petama kami ke sini,  agak sukar juga kami mencarinya.  Mujurnya Hospital Seberang Jaya ini kecil aje (2 tingkat). Hrmm nampaknya selepas ini aku akan lebih kerap berada di sini.

Klinik Pengimejan Diagnostik menetapkan temujanji untuk biopsy pada 12 Jun 2013 pukul 2.30 petang ... esuk petang !!!  Aku dinasihatkan tidak menyapu sebarang losen atau bedak pada bahagian payudara dan ketiak serta kawasan sekitarnya semasa datang esuk.  Insyaallah akan aku patuhi.

Monday, October 7, 2013

Subhanallah



Penghidap kanser tawan Gunung Kinabalu - Berita Harian, 3hb Oktober 2013
Seramai 24 pendaki, termasuk tiga pesakit barah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu sempena kempen, `Klimb For Cancer' yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA), pada 22 September lalu.
Selain tiga pesakit barah, peserta lain membabitkan penderma tetap dana Klimb For Cancer, kakitangan MAKNA dan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Tiga pesakit itu, Rozieana Jorun yang menghidapi leukemia dan penghidap barah tulang, Nazry Hamzah serta penghidap barah kolon, Sagawah Maliban. Selain peserta termuda Zeffereili Helmie, berusia 12 tahun mempunyai semangat yang tinggi sepanjang pendakian itu.
Ternyata, perjalanan mereka memang penuh cabaran dengan laluan sempit, curam, meredah batu granit dan bergantung sepenuhnya pada tali antara dugaan besar yang terpaksa dilalui.
Malah, keberanian dan kecekalan Nazry, yang kehilangan kaki kanannya ketika berusia 16 tahun juga bukan halangannya untuk menamatkan pendakian.
Semangat tinggi
Timbalan Pengurus Besar MAKNA, Vemanna Appannah, berkata laluan curam yang luar biasa membuatkan beliau dan Nazry tiba lewat daripada masa ditetapkan.
Katanya, program Klimb for Cancer ini cukup memberi makna dengan huruf K bererti nama Kinabalu terutama kepada penghidap kanser sendiri yang turut melalui kesukaran dalam perjalanan hidup mereka.
Menerusi kempen itu yang menyasarkan kutipan dana berjumlah RM50,000 akan digunakan untuk membantu pesakit barah yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan.
"MAKNA juga berharap dapat memberi inspirasi kepada perubahan luar biasa dan memberi harapan baru dan kekuatan meneruskan hidup kepada penghidap barah," katanya.
Usaha murni itu juga mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk individu dan korporat menyumbang untuk kempen berkenaan.
Corozene, sudi menaja pakaian pendakian penghidap barah, manakala kemeja T pendaki ihsan daripada Global Gases Malaysia Sdn Bhd, selain beberapa penaja seperti Hari-Hari, iNPublishers, Creative HomeX, Kompleks Karamunsing, Crest Megaway, Puri Ratu, Sawit Kinabalu, Royal Brunei Airlines, SLDB, MAS Wings, Popular Express, Shangri-La Spa & Resort KK, Sutera Habour Resort, Promenade Hotel dan Sabah Parks.

Saturday, October 5, 2013

Mampukah Kita??



Status Update
By Ustaz Dr.Mohd Izhar Ariff
Ulamak dulu-dulu mengharapkan ditimpa sakit atau demam untuk satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau seperti diceritakan oleh Al-Imam Ibn Abi Al-Dunya..


Mengapa kita perlu sedih apabila ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit dapat menghapuskan segala dosa-dosa kita yang telah lalu.  Abu Musa Al-Asy'ari r.a bercerita Rasulullah S.A.W bersabda " Kalau seseorang hamba sakit atau sedang dalam musafir, pasti ALLAH akan menulis baginya pahala semasa ia mengamalkan ibadah masa masih sihat dan bermukim."

Muliakan bagi orang yang sedang sakit  kerana ALLAH mengangkat darjat mereka.

Wallahuaklam

******************************************************************

Pagi ni terjumpa status update FB Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff.  

Cuba kita baca, faham dan ambil sebagai pegangan hidup kita. Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa redho dan bersyukur dengan ujian dari Allah.  Kerana ujian itu membawa hikmah yang besar ... ganjaran pahala dari Allah.

Mungkin senang berkata-kata, tetapi mampukah kita menerima dugaan tersebut tanpa mengeluh sedikit pun.   Hanya masa yang menentukan.  Kita berharap apabila kita diduga kelak, kita dikurniakan iman yang teguh.

Friday, October 4, 2013

Benar Sekali

Permulaan Segalanya

Hari itu, 11 Jun 2013 aku pergi ke Pusat Diagnostik Anda di Bertam untuk ujian mammogram.  Hati aku tenang aje. Yelah, dah rutin tahunan aku menjalani ujian ni, tak ada apa-apa masalah pun. Kalau nak takut pun, kesakitan semasa ujian ini dijalankan.  Kena kepit dengan mesin tu berkali-kali untuk dapatkan gambaran sebenar apa yang ada dalam payudara kita.  Ngeri!!!! Abah menemani aku ke klinik.

mesin mammogram

Ujian dijalankan oleh Pembantu Klinik. Walaupun agak memeritkan, tetapi budibahasa gadis tersebut membuatkan aku tenang.  Kemudian aku dipanggil masuk ke bilik Dr Haniza, Perunding Radiologi untuk membincangkan hasil ujian mammogram tadi.  Di sini hati aku sudah mula gelisah apabila Dr Haniza menyatakan dia perlu melakukan ujian lanjut kerana mammogram tadi menunjukkan terdapat tanda-tanda yang kurang menyenangkan.  Apakah itu? Aku menjalani pula ujian ultrasound.  Berkali-kali alat ultrasound digerakkan di atas payudara sebelum beberapa filem diambil.

Selesai ujian ultrasound, doktor meminta Abah masuk untuk perbincangan lanjut.  Airmata mula bertakung di mata. Jantungku berdebar kencang.  Mungkin Abah dan doktor pun dapat dengar bunyi degupan tu ... dup dap dup dap.  Abah cuba menenangkan aku, dia menggenggam erat tanganku.  Memang aku benar-benar perlu pada sokongan Abah.

Dr Haniza dengan penuh diplomasi menerangkan terdapat tanda-tanda ketulan yang kuatiri kanser di payudara sebelah kiri. Ketulan itu terlalu kecil, bersaiz 0.6 cm dan mempunyai tanda ujudnya 'calcification' yang perlu dikenalpasti samada merbahaya atau sebaliknya BACA SINI  Untuk lebih pasti, aku perlu menjalani prosedur biopsy di mana sebahagian daripada ketulan itu akan diambil dan diuji dimakmal.

Dia segera menelefon Hospital Seberang Jaya untuk menetapkan temujanji. Alhamdulillah, klinik payudara hospital beroperasi petang ini.  Aku perlu ke sana untuk prosedur selanjutnya.

Sebelum berpisah, Dr Haniza memberikan kata-kata semangat kepada aku, meminta aku berdoa supaya kuat menghadapi apa jua keadaan.  Dia memeluk aku erat.

Hairannya aku masih kuat. Hanya airmata yang mengalir, tetapi hati dan otak ku terasa kosong.  Aku belum betul-betul digest maklumat yang aku terima agaknya, aku terasa seolah-olah baru bangun dari mimpi buruk.

Kenapa Beratnya Hati Nak Menulis

Sebenarnya dah berbulan-bulan aku pendamkan blog ni. Hajat hati nak menulis, tapi tak ada kudrat.  Setiap kali dah start separuh jalan, buat u-turn ...  off laptop dan biarkan idea padam macam tu aje.

Sebenarnya tidak seronok menulis dan mengenangkan sesuatu yang tidak mengembirakan hati.  Itulah sebabnya blog ini hidup segan mati tak mau. Aku takut nak flashback apa yang berlaku, sehingga aku yakin telah benar-benar kuat.

Ok ... insyaallah hari ni aku kuat.

Aku tak tau kenapa aku rasa macam akrab dengan penyakit kanser. Mungkin pengalaman aku melihat penderitaan ibu mertua,  Allahyarhamah Hajah Zaleha Bee atau Tok Bee menyebabkan aku agak sensitif dengan penyakit ini.  Allahyarhamah menderita kanser hidung selama beberapa tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1990.  Aku menyaksikan sendiri bagaimana deritanya Allahyarhamah setelah menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi.  Malah akibat tidak tertahan dengan rawatan kimoterapi, Allahyarhamah telah koma selama beberapa hari sebelum meninggal dunia.  Semenjak itu aku jadi fobia dengan kanser.

Sejak dari itu aku mula mencari pelbagai maklumat tentang kanser.  Aku menjadi Ahli MAKNA seumur hidup dengan menyumbang secara bulanan. Walaupun jumlah sumbangan terlalu kecil, aku ikhlas untuk membantu.  Aku tidak mampu menyumbang tenaga kerana kekangan tugasan di pejabat dan komitmen berumahtangga.

Aku juga rajin menjalani pemeriksaan rutin mamogram dan pap-smear.  Semasa usia ku masih muda, pemeriksaan hanya dilakukan setiap 3 tahun.  Apabila umur makin meningkat, kekerapan pemeriksaan adalah setiap tahun.  Alhamdulillah selama beberapa tahun itu, keputusan yang aku terima adalah -ve kanser.

Kemudian aku mula mengenali Allahyarhamah Dalilah Tamrin menerusi blonya "One Breast Bouncing".  Aku baca kisahnya melawan kesakitan, kesedihan, kerisauan kepada masa depan anak-anak yang masih kecil, kekuatannya memujuk hati dsbnya. Sesekali aku akan menangis bersamanya dan memberi kata-kata semangat kepadanya.  Walaupun tidak pernah bertemu, tetapi media blog menemukan kami.  Aku pembaca setia blognya sehinggalah Allahyarhamah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai pesakit kanser payudara pada bulan Julai 2010.

Aku juga merupakan pemerhati jauh kepada seorang anak-muda belasan tahun yang merupakan rakan sekolah anakku Puteri Bongsu.  Allahyarham Muhammad Nur Nazari yang menghidap kanser tulang pergi mengadap Ilahi pada usia yang terlalu muda.  Aku menangisi pemergian anak ini BACA DI SINI. Aku terasa begitu hampirnya diri ini kepada mati.

Setelah menyaksikan semua itu, bagaimana pula perasaan aku apabila doktor mengesahkan ada sel-sel kanser di payudara kiri ku???


Wednesday, October 2, 2013

Keinsafan

Status Update
By Hayat Networks

Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit, Allah akan mengutus 4 malaikat : 


1. Malaikat Pertama akan mengambil SELERA MAKANNYA.
2. Malaikat Kedua akan mengambil REZEKINYA.
3.Malaikat Ketiga akan mengambil KECANTIKAN/KETAMPANAN WAJAH (pucat).
4. Malaikat Keempat akan mengambil DOSANYA. 


Apabila telah sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hambaNya kembali sehat, Allah akan menyuruh Malaikat Pertama, Malaikat Kedua dan Malaikat Ketiga agar mengembalikan apa yang telah diambil oleh mereka. 



Akan tetapi Allah tidak menyuruh Malaikat Keempat mengembalikan dosa hambaNya tersebut



SubhanAllah, begitu baik dan kasih sayangnya Allah terhadap hamba hamba  Nya.



Maka,  janganlah bersangka buruk terhadap Allah ketika kita sakit, bersyukurlah dan ucaplah Alhamdulillah atasNya. Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah penghapus segala dosa.

***************************************************************

Sudah beberapa kali aku membaca coretan di atas.  Dan setiap kali membaca aku pastinya menangis.  Ya Allah, sesungguhnya aku terlalu banyak mengeluh, terlalu kerap merungut tetapi terlalu mudah lupa mensyukuri nikmatMu.

Ampunkan dosa dan kelalaianku Ya Allah, kurniakan aku keredhoaanMU.