Thursday, July 10, 2014

Debaran Itu Kembali

Setelah setahun berlalu, aku perlu menghadapi sekali lagi .... mamogram.

Dulu aku takut sebab buat mamogram ni memang agak menyakitkan. Kena serah buahdada kita untuk di x-ray, kepit atas ke bawah, lepas tu kiri ke kanan pulak. Kalau dulu kedua-dua belah,  sekarang tinggal belah kanan aje.  Syukur aku masih dipinjamkan walaupun sebelah.

Kali ni ketakutan aku lain. aku takut nak mendapat tahu hasil mamogram tu sendiri. Belum habis rupanya trauma setahun yang lalu.  Masih segar dalam ingatan, saat-saat perit aku merawat hati dan merawat luka pembedahan.  Aku mau atau tidak, aku kena hadapi kenyataan.

Aku bersolat taubat, bersolat hajat memohon bantuan Allah. Nak minta bantuan sapa lagi??? Manusia keupayaan terbatas. Secanggih mana pun teknologi, semahal manapun ubat, tak mungkin dapat menentang ketetapan Allah. Tapi Allah janjikan doa itu senjata bagi mukmin, lalu aku pun berdoa. Memohon kasihsayang Allah supaya aku dilindungi dari segala musibah. Sekiranya memang ditakdirkan aku perlu melaluinya sekali lagi, aku memohon diberikan kesabaran yang sangat tinggi.


Apabila nama dipanggil untuk prosedur mamogram, aku melangkah dengan tenang. Mujurnya Juru X-ray yg menjalankan mamogram tu teramat menyenangkan hati aku.  sambil berbual santai dengan nada lembut, dia menjalankan prosedur kepit-mengepiti tu.  Walaupun badan terasa sakit, tetapi hati terasa damai.

Selesai mamogram aku diminta menunggu sebentar di luar bilik. Kemudiannya aku diminta menjalani scanning. Ehhh kenapa pulak ni?? Oranglain boleh balik selepas mamogram, aku pulak perlu menjalani scanning. Dada aky berdegup kencang, perut aku tiba-tiba jadi sakit.  Ya Allah, bersediakag aku untuk ujian ini??

Di dalam bilik scanning, pegawai perubatan yang lain pulak melakukan scan di sekitar payudara. Semasa alat scanner ditekan-tekan di payudara terasa sakit sangat.  Apakah itu?? Setelah selesai, aku bertanya apakah terdapat apa-apa yang meragukan pada payudara ku. Sambil tersenyum dia menyatakan laporan akan disediakan oleh doktor pakar dan akan diserahkan di Klinik Pakar 2.  tetapi dari pemerhatiannya sebentar tadi, tak nampak apa-apa yang luar biasa.  Alhamdulillah!!!

Seminggu selepas itu aku ke Klinik Pakar 2 untuk temujanji dengan Dr Imran. Menurut Dr Imran, dari laoran yang diterima tidak terdapat tanda-tanda sel  kanser di payudara kanan ku. yang ada hanyalah sist yang tidak membahayakan. Walau bagaimanapun, aku diminta datang berjumpa beliau dengan segera sekiranya terdapat tanda-tanda risko payudara :

1)   Perubahan struktur dan tekstur payudara yang membengkak, benjolan merah seakan ketumbuhan bisul
2)    Perubahan puting yang tenggelam atau mengeluarkan lelehan cecair
3)    Kesakitan ketara di bahagian ketiak
4)    Kesakitan di bahagian lengan
5)    Kesakitan yang amat sangat di bahagian payudara


Alhamdulillah Alhamdulillah .... itulah ucapanku tanpa henti. 

Friday, January 10, 2014

Alhamdulillah Syukur Nikmat

Aku sedang menunggu giliran di bank ketika telefon berbunyi.  Tertera di skrin "Klinik Perai".  Ahhh keputusan pap smear???  Aku segera berganjak ke luar dari bank.  Kalau bercakap dalam bank nanti tentu banyak mata yang menjeling, silap-silap kena tegur dengan Pak Guard pulak.

Dada ku berdebar-debar.  "Assalamualaikum,  puan saya dari Klinik Perai nak bagitau keputusan pap smear tempoh hari".  Jantung ku bergerak kencang, guk guk guk ... agaknyaa orang yang berdiri dekat aku boleh dengar bunyi jantung ku. "Keputusan ujian pap smear puan adalah normal, puan tak ada apa-apa masalah.  Jangan lupa datang untuk pemeriksaan ulangan bulan Disember nanti yer puan".

ALHAMDULILLAH.  Tak sedar airmata aku mengalir. Syukur Ya Allah atas nikmat kesihatan yang Engkau kurniakan kepada aku.  Benarlah setelah kita diuji dengan kesakitan, barulah kita amat menghargai nikmat kesihatan.  ALHAMDULILLAH.

Monday, December 23, 2013

Berilah Aku Peluang Ya Allah .... 20 Julai 2013

Aku tetap menjalankan ibadah puasa seperti biasa.  Aku tetap menunaikan solat tarawih sperti biasa. Masjid Perai kebiasaannya mengadakan solat tarawih 8 rakaat diikuti sunat witir. Selesai witir akan diadakan tazkirah selama 30 minit.  Bermacam-macam topik dibincangkan,  semuanya berkaitan ibadah wajib dan sunat di bulan yang mulia ini.

Cuma aku tidak seperti sebelum ini. Dulu aku sedaya upaya fokus kepada ilmu yang disampaikan oleh Ustaz penceramah yang dijemput khas dari daerah-daerah lain di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Tapi pada Ramadhan ini, kadang-kadang aku terlalai semasa tazkirah berlangsung. Macam-macam aku fikirkan.  Aku fikirkan tentang macamana anak-anak aku kelak.  Siapa nak sediakan persiapan berpuasa dan berhari-raya.  Macaman Abah semasa aku di hospital kelak. Nak bagitau Emak kah?  Nanti darahnya naik mendadak ... fuhhh, takut aku memikirkan kalau apa-apa terjadi pada Emak kerana terkejut dan dukacita mendengar masaalah aku.

Aku tahu kelemahan Abah.  Masaalah utamanya Abah tak tahu memasak langsung, hattta menggoreng sebiji telor sekali pun!!!  Tapi Kakngah kan masih menganggur, nanti bolehlah dia masak  yang simple untuk Abah. Abah bukanlah cerewet sangat orangnya.

Nanti untuk hariraya, belilah kuih-muih. Ada macam-macam jenis di supermarket, di market atau di pasar Ramadhan, cuma kena pilih yang sedap dan murah.  Ketupat dan rendang tempah aja. Atau minta tolong Teh (kakak Abah) masakkan untuk kita. 

Tapi macamana kalau ada komplikasi semasa pembedahan.  Mungkin aku akan ..... Ya Allah,  aku takut Ya Allah, sakit dada memikirkannya.  Tentu Abah, Emak dan ketiga-tiga puteri ku akan kesedihan menerima dugaan itu kelak.  Kesiann mereka.

Astagafirullah hal azim. Jauhnya perjalanan aku semasa sesi tazkirah berlangsung.  Ya Allah ampunkan dosa aku mengelamun semasa berada di taman syurga ini.  Berikan aku ketenangan Ya Allah.  Berikan aku kekuatan menghadapi pembedahan ini.  Aku pohon kasihsayang Mu Ya Allah, permudahkan proses pembedahan dan penyembuhan kelak.  Berikan aku peluang dan kesempatan untuk terus beribadah kepadaMu Ya Allah.  Aku mahu bertemu Ramadhan yang akan datang, aku mahu gandakan lagi ibadah yang tidak sempurnakan pada tahun ini. Aku mahu berkunjung lagi ke Tanah Suci Mu Ya Allah, aku mahu menziarah kekasihMu Nabi Muhammad SAW sekali lagi Ya Allah. Aku mahu terus berbakti kepada Abah dan Emak, aku mahu terus menyulam kasihsayang dengan anak-anak ku Ya Allah. Berikan aku kesempatan untuk menambah amalan ku. Berikan aku kesempatan untuk memperbaiki akhlak ku Ya Allah.  Ya Allah malunya aku, meminta terlalu banyak dari Mu Ya Allah. Tetapi aku tidak punya yang lain selain daripada Mu Ya Allah.  Hanya kepada Mu tempat aku menyembah dan memohon bantuan dan pertolongan.  Perkenaankan doa ku Ya Allah. Amin ya Robbil alamin.

(Kredit kpd Mazana atas slide yang bermanafaat ini)

Sunday, December 22, 2013

Aku Pasrah ... 18 Julai 2013

Lama juga aku tertidor.  Pukul 9 pagi baru tersedar.  Aku rasa dunia begitu damai, hati begitu tenang. Aku bangun mandi dan solat dhuha, seterusnya solat hajat.  Semasa sujud terakhir solat hajat, aku memohon petunjuk dari Allah untuk membuat pilihan yang paling tepat dalam hidup ku.

Selesai dengan ibadah sunat ku, aku duduk di hadapan Abah yang sedang membaca akhbar.  Dengan tenang sekali aku cakap pada Abah, "I rasa setuju nak buat pembedahan serta-merta.  Lagi I tunggu lagi kepala serabut.  You setuju ker Abang?"  ternyata Abah gembira dengan keputusan aku.  Kata Abah, kalau aku simpan pun kesakitan itu, ianya tak akan mengubah apa-apa kepada kebaikan.  Tapi yang pasti, semua orang akan stress.  Aku stress kerana tahu kuman kanser ada dalam badan aku dan ia mungkin sedang merebak.  Abah dan anak-anak akan stress melihat aku berduka-lara.  Keadaan akan jadi tidak normal lagi.

Dengan restu Abah,  aku menelefon Sister Jus.  Aku terangkan bahawa aku bersetuju untuk menjalani pembedahan serta-merta.  Tak perlu tunggu sehingga selepas Aidil-fitri.  Aku dengar suara Sister Jus begitu ceria,  katanya aku membuat keputusan yang sangat bijak.  Dia akan hubungi aku semula setelah mendapat persetujuan dari doktor pakar bedah.

Kira-kira 2 jam kemudian, Sister Jus menghubungi aku semula.  Dia menyampaikan ucapan tahniah dari doktor kerana mengambil keputusan yang tepat sekali.  Aku diminta datang ke hospital untuk pelbagai prosidur pra pembedahan  :-

1.  22 Julai    -  menjalani ujian darah,  ECG dan x-ray

2.  23 Julai    -  pertemuan dengan doktor Klinik Pakar 2 dan doktor Pakar Bius

3.  24 Julai    -  masuk ke Wad Hospital Kepala Batas untuk persiapan sebelum pembedahan

4.  25 Julai    -  pembedahan mastektomi di Hospital Kepala Batas

Sebenarnya semua prosidor berkaitan pembedahan adalah dijalankan oleh pakar-pakar dari Hospital Seberang Jaya. Disebabkan operation theater Hospital Seberang Jaya sedang diubahsuai, maka pembedahan terpaksa dilakukan di Hospital Kepala Batas untuk sementara waktu.

Aku bersedia untuk menghadapinya.  Aku yakin Allah akan memberikan kekuatan dan kesembuhan kepada aku.  Semoga usaha, doa dan tawakkal ini mendapat ganjaran kebaikan daripada Yang Maha Esa. Aminn.

Wednesday, December 11, 2013

Hari Yang Dibasahi Airmata - 17 Julai 2013

Sepanjang perjalanan pulang dari hospital aku menangis. Hatiku terlalu hiba, bercelaru bercampur-baur rasa. Aku rasa sedih, aku takut, aku  terkjeut, aku keliru!!!  Aku tak dapat lari dari memikirkan seriuskah kanser aku?  Sudah sampai tahap mana? berapa lama lagi aku dapat hidup? haruskan aku menanggung kesakitan pembedahan, chemotherapy, radiotherapy, ubat-ubatan.  Macamana Abah, anak-anak aku, emak .... macamana mereka nak menerima keadaan aku?  Ohhh Tuhan!!!

Sewaktu menunaikan solat Asar, aku merintih mengadu kepada Yang Esa.  Ya Allah, kenapakah dugaan ini datang kepada aku. Apakah besarnya dosa ku Ya Allah hingga aku dihukum begini. Jika aku berdosa Ya Allah, Engkau ampunkan segala dosaku Ya Allah.  Jangan tinggalkan walau sebesar zarah dosa yang menghantui kehidupan aku.  Berikan aku peluang untuk bertaubat Ya Allah.  Engkau kurniakan aku keampunan dan keredhoanMu.

Atau Engkau ingin menduga keimanan ku Ya Allah?  Kurniakan aku iman yang teguh dan kukuh, kesabaran yang tinggi, sifat tawaduk kepada Mu Ya Allah. Jauhi aku dari hati yang penuh rasa marah, dari rasa resah, dari menyesali takdir ini. Engkau lapangkan dadaku Ya Allah menerima musibah ini.

Atau Engkau mahu mengangkat darjat ku Ya Allah.  Alhamdulillah, kurniakan aku kedudukan yang tinggi di sisi Mu. Perbaiki akhlak ku Ya Allah, hapuskan sifat-sifat mazmumah dari diri ini dan hiasi aku dengan-dengan sifat-sifat mahmudah.   Jadikan aku hambaMu yang solehah.

Sekejap hati ku tenang mengingati bahawa aku insan terpilih menerima dugaan ini.  Tetapi apabila iblis dan syaitan dapt menyelit di celah-celah hati, aku jadi gelisah semula. Aku amat bimbang aku jadi kufur kerana mempersoalkan takdir.  Astagafirrullah, ampun keterlanjuranku Ya Allah. Selamatkan aku dari bisikan dan  hasuta iblis dan syaitan yang direjam dan dilaknatkan.



Begitulah aku sepanjang malam. Tidak mampu tidur nyenyak.  Akhirnya aku habiskan malam itu di atas sejadah dengan menangis, merayu dan merintih memohon keampunan dan petunjuk dari Yang Maha Esa.  dalam sujud tahajud, taubat dan hajat, aku panjatkan doa tak berhenti-henti. Pada siapa lagi harus aku merayu selain daripada Mu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar. Sedar-sedar telah masuk waktu bersahur.  

Aku tahu Abah memerhati diriku.  Mula-mula dia hanya membiarkan aku untuk melalui tempoh bertenang, tetapi dia juga tahu aku tidak mungkin dapat bertenang.  Aku gelisah siang dan malam. Akhirnya Abah membuka mulut.  Abah meminta aku tabah menerima takdir ini.  Aku perlu yakin dengan aturan hidup yang telah ditetapkan untuk aku. Jangan cuba menyalahkan takdir, jangan menyesali takdir yang telah tertulis.  Abah mahu aku melihat sisi positif dugaan ini.  Kanser bukan  bermakna hidup kita telah musnah.  Ramai yang berjaya menentang kanser dengan izin Allah. Yang penting aku mesti positif, berusaha mencari penawarnya.

Ohhh ... terima kasih Abah. Aku peluk Abah dan menangis sepuas-puasnya. Rasanya aku tumpahkan semua kesedihan aku di atas bahu Abah. Terimakasih sayang kerana memahami perasaan aku, kerana memahami aku perlukan kata-kata peransang dan dorongan untuk mengembalikan semangat aku. Selepas solat subuh aku melelapkan mata. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa mengantuk yang teramat sangat.

Punca kanser dari microwave dan kanser payudara | Blog Hairul

Punca kanser dari microwave dan kanser payudara | Blog Hairul

Monday, November 18, 2013

Akhirnya ... Terimalah Kenyataan Ini - 17 Julai 2013

Selepas biopsi tempoh hari, aku sepatutnya mendapat keputusannya dalam tempoh 2 minggu.  Tetapi entah di mana silapnya, keputusannya tidak diperolehi mengikut jadual. Pergi 2 Julai belum dapat lagi. Datang semula 9 Julai pun tak dapat lagi.  Mula-mula tu aku memang berkeyakinan tinggi juga .... Insyaalllah semua ok. Tapi bila keputusan tertunda-tunda macam ni, aku mula rasa cuak.  Ada masalah ker?  teruk sangat ker sel aku sampai doktor takut nak tulis keputusan biopsi.  Ataau ... bla bla bla,  aku mula bermain dengan perasaan negatif.

Kali ketiga aku mengadap doktor pada 17 Julai. Hari ni entah kenapa hati aku tak begitu tenteram.  Aku mula merasakan ada perkara tidak baik akan aku hadapi.  Apakah itu???  Ya Allah Ya Robbi Ya Latiff ... Engkau bantulah aku walau apa jua keadaannya.  Kakak aku Yong menelefon aku memberi kata-kata semangat. Begitu juga adik aku Nita meminta aku berdoa semoga semuanya baik-baik.  Abah dan Kak Ngah yang menemani aku hari itu turut memahami perasaan aku, mereka meramas-ramas tanganku untuk memberi kekuatan. Terima kasih semua atas sokongan moral yang diberikan.  

Tepat pukul 4.30 petang aku masuk berjumpa doktor.  Manis doktor ni.  Sambil mengucapkan salam dan bertanya khabar dia membuka fail aku.  Setelah membaca laporan yang terbentang di depannya, dia meminta diri sambil membawa keluar fail itu.  Kenapa ni?? Debaran jantungku semakin kuat. Terasa suhu bilik ini terlalu sejuk.  Kebetulan hari ni 8 Ramadhan,  perut aku kosong, badan lagi bertambah sejuk.

Beberapa minit kemudian doktor manis ini datang semula (kerana gabra aku terlupa nak pandang nametag di dadanya).  "Puan, boleh ikut saya berjumpa doktor pakar?"  What?  Aduhhh ... perut ku terasa senank. Apakah ini?  Kenapa perlu jumpa doktor pakar.  Fikiranku bercelaru sehinggalah sedar-sedar aku sudah berada di hadapan doktor pakar  tersebut.

"Puan datang dengan siapa?"  tanya doktor tersebut. "Suami" jawabku pendek. "Boleh panggil suami masuk untuk kita bincang sama-sama?"  Aku terus menjenguk keluar.  Pesakit lain dah ramai yang pulang rupanya, klinik hampir kosong. Aku menggamit Abah masuk. Ya Allah apakah yang sedang berlaku??? Aku takut!!!

"Assalamulaikum,  nama saya Miss Azlina, pakar bedah di sini.  Keputusan biopsi kita dah dapat.  Maaf satu bulan baru kami dapat keputusan ni. Biasanya satu minggu jer.  Puan bekerja?"  Ahh doktor ni cuba berbasa-basi pulak. Lepas tu ditanya pulak tentang sejarah keluarga yang ada kanser.  Ditanya rutin membuat mamogram. Aku rasa aku menjawab semua soalan secara separuh sedar sebab otak aku dah tak boleh fokus.  Aku lebih berminat nak tau apa keputusan biopsi tu.  Positif atau negatif kanser.  Itu ajer??

"Daripada laporan biopsi ni kita dapati terdapat sel-sel kanser di payudara kiri puan ...." Ya Allah, Ya Allah ... tanpa sedar aku menyebut Allah berkali-kali. Airmata aku berjujuran jatuh. Abah segera mendekati aku dan menepuk-nepuk bahu aku dan cuba menenangkan aku.  Kenapa mesti aku positif kanser? Tak ada keturunan aku menghidap kanser payudara.  Aku menyusukan semua anak-anak ku.  Aku bukanlah jahat sangat untuk dihukum begini.  Aku, aku, aku ... Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah, kenapa aku mempersoalkan hak Mu Ya Allah. Ampunkan keterlanjuranku Ya Allah ... aku bermonolog sendiri-sendiri.



"Puan ada dua alternatif.  Pertama puan boleh buang di tempat yang ada sel kanser tersebut sahaja. Kedua puan boleh buang semua payudara kiri puan.  Tetapi saya berpendapat alternatif pertama tu agak mustahil sebab sel puan terlalu kecil dan tersorok-sorok di balik tisu-tisu payudara. Kalau ianya keras seketul, senang kami terus tuju ke tempat tersebut.  Saya cadangkan puan buat prosedur mastektomi buang keseluruhan payudara kiri" terang Miss Azlina lancar.

"Apa kelebihan alternatif kedua ni" tanya Abah.  Terimakasih Abah kerana tolong bertanya bagi pihak ku. Aku dah jadi kelu.

"Jika kita buat mastektomi, kita buang keseluruhan payudara. Ini bermakna bukan saja sel berkenaan kita buang, tetapi juga semua urat-urat darah dan saraf-saraf yang berhubung dengan payudara. Kita harap tidak ada sel yang akan terlepas melalui saluran darah atau saraf pergi ke kawasan lain seperti tulang, paru-paru, hati dan sebagainya.  Kalau kita buang sedikit saja, kemungkinan ada baki-baki sel yang tertinggal dan akan merebak ke tempat lain.  Ditakuti puan perlu pembedahan sekali lagi selepas itu.  Saya cadangkan kita buat pembedahan secepat mungkin.  Nurse boleh tengok bila paling cepat kita boleh buat operations?"  kata Miss Azlina.

Aku terus memandang Abah, terkejut.  Abah kata "Buatlah yang terbaik Ma, buat apa nak simpan, nanti dia merebak lagi teruk"

"Ok, doktor saya setuju nak buang terus payudara kiri ni. Tapi saya tak mau buat sekarang. Bolehlah tunggu selepas raya?" rayu ku.

"Ehh kenapa puan?  Sebaiknya jangan bertangguh sebab kita tak pasti sel ni merebak cepat atau lambat. Kalau puan setuju, kami boleh buat operations ni minggu depan. Ada kosong 25 Julai. Puan ada masalah ker?" tanya Miss Azlina penuh simpati.

Dalam esak tangis aku berkata "Saya kesian anak-anak doktor.  Kalau saya operations sekarang, seolah-olah saya spoil mood raya mereka".  Sebenarnya aku kesian pada Abah juga.  Kalau aku sakit, macamana dia nak sahur?  Siapa nak siapkan hidanagan berbuka puasa untuknya.  Kalau aku operations, tentu anak-anak ku tak berhariraya, kesian mereka. Baju raya masing-masing dah buat tiga pasang.  Semua buat design sendiri.  Kuih pun dah plan nak buat bila semua berkumpul sebelum raya nanti. Macamna kalau aku sakit terlantar?

"Ok la puan. Kalau macam tu, kami bagi tarikh baru yer.  Yang ada kosong selepas raya cuma 21 Ogos.  Lambat lagi tu.  Kalau puan tukar fikiran bagitau kami cepat-cepat yer" lembut Miss Azlina berkata.  Sambil bersalaman meminta diri, aku tak mampu membendung akhirmata. Ucapan terima kasih pun tak mampu aku ucap. Dia menggemgam erat tanganku sambil memberi kata-kata semangat.

Keluar dari bilik itu aku terus duduk di kerusi pesakit menunggu sambil menangis. Kak Ngah segera memeluk ku. Abah menggenggam erat tangan ku. Aku tak peduli kalau ada pesakit lain memandangku ketika itu.  

"Puan, saya Sister Jus, mari ikut saya ke bilik".  Aku, Abah dan Kak Ngah segera mengikut Sister Jus ke bilik yang yang terletak di hujung Klinik Pakar 2 ni. Di sana seorang wanita berusia lingkungan 40-an sedang menunggu.  Sekali lagi mereka memperkenalkan diri. Sister Jus ialah Ketua Jururawat di Klinik Pakar 2, manakala Ina pula ialah bekas pesakit kanser payudara yang kini berkhidmat secara sukarela di Pusat Jagaan Harian (Kanser).

Kedua-dua mereka memberikan kata-kata semangat supaya aku yakin untuk mejalani pembedahan.  Ina menceritakan pengalamannya kepada aku dan meyakinkan aku bahawa yang mampu melawan kanser ialah diri kita sendiri, dengan izin dari Allah. Mereka berdua memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya aku ingin berkongsi masalah atau mendapatkan maklumat atau nasihat.

Aku melangkah pulang hari itu dengan hati yang bengkak. Inilah yang amat aku takuti ... kanser. Tetapi aku perlu menghadapinya, aku tidak mampu lari lagi.