Sunday, December 22, 2013

Aku Pasrah ... 18 Julai 2013

Lama juga aku tertidor.  Pukul 9 pagi baru tersedar.  Aku rasa dunia begitu damai, hati begitu tenang. Aku bangun mandi dan solat dhuha, seterusnya solat hajat.  Semasa sujud terakhir solat hajat, aku memohon petunjuk dari Allah untuk membuat pilihan yang paling tepat dalam hidup ku.

Selesai dengan ibadah sunat ku, aku duduk di hadapan Abah yang sedang membaca akhbar.  Dengan tenang sekali aku cakap pada Abah, "I rasa setuju nak buat pembedahan serta-merta.  Lagi I tunggu lagi kepala serabut.  You setuju ker Abang?"  ternyata Abah gembira dengan keputusan aku.  Kata Abah, kalau aku simpan pun kesakitan itu, ianya tak akan mengubah apa-apa kepada kebaikan.  Tapi yang pasti, semua orang akan stress.  Aku stress kerana tahu kuman kanser ada dalam badan aku dan ia mungkin sedang merebak.  Abah dan anak-anak akan stress melihat aku berduka-lara.  Keadaan akan jadi tidak normal lagi.

Dengan restu Abah,  aku menelefon Sister Jus.  Aku terangkan bahawa aku bersetuju untuk menjalani pembedahan serta-merta.  Tak perlu tunggu sehingga selepas Aidil-fitri.  Aku dengar suara Sister Jus begitu ceria,  katanya aku membuat keputusan yang sangat bijak.  Dia akan hubungi aku semula setelah mendapat persetujuan dari doktor pakar bedah.

Kira-kira 2 jam kemudian, Sister Jus menghubungi aku semula.  Dia menyampaikan ucapan tahniah dari doktor kerana mengambil keputusan yang tepat sekali.  Aku diminta datang ke hospital untuk pelbagai prosidur pra pembedahan  :-

1.  22 Julai    -  menjalani ujian darah,  ECG dan x-ray

2.  23 Julai    -  pertemuan dengan doktor Klinik Pakar 2 dan doktor Pakar Bius

3.  24 Julai    -  masuk ke Wad Hospital Kepala Batas untuk persiapan sebelum pembedahan

4.  25 Julai    -  pembedahan mastektomi di Hospital Kepala Batas

Sebenarnya semua prosidor berkaitan pembedahan adalah dijalankan oleh pakar-pakar dari Hospital Seberang Jaya. Disebabkan operation theater Hospital Seberang Jaya sedang diubahsuai, maka pembedahan terpaksa dilakukan di Hospital Kepala Batas untuk sementara waktu.

Aku bersedia untuk menghadapinya.  Aku yakin Allah akan memberikan kekuatan dan kesembuhan kepada aku.  Semoga usaha, doa dan tawakkal ini mendapat ganjaran kebaikan daripada Yang Maha Esa. Aminn.

No comments:

Post a Comment