Sepanjang perjalanan pulang dari hospital aku menangis. Hatiku terlalu hiba, bercelaru bercampur-baur rasa. Aku rasa sedih, aku takut, aku terkjeut, aku keliru!!! Aku tak dapat lari dari memikirkan seriuskah kanser aku? Sudah sampai tahap mana? berapa lama lagi aku dapat hidup? haruskan aku menanggung kesakitan pembedahan, chemotherapy, radiotherapy, ubat-ubatan. Macamana Abah, anak-anak aku, emak .... macamana mereka nak menerima keadaan aku? Ohhh Tuhan!!!
Sewaktu menunaikan solat Asar, aku merintih mengadu kepada Yang Esa. Ya Allah, kenapakah dugaan ini datang kepada aku. Apakah besarnya dosa ku Ya Allah hingga aku dihukum begini. Jika aku berdosa Ya Allah, Engkau ampunkan segala dosaku Ya Allah. Jangan tinggalkan walau sebesar zarah dosa yang menghantui kehidupan aku. Berikan aku peluang untuk bertaubat Ya Allah. Engkau kurniakan aku keampunan dan keredhoanMu.
Atau Engkau ingin menduga keimanan ku Ya Allah? Kurniakan aku iman yang teguh dan kukuh, kesabaran yang tinggi, sifat tawaduk kepada Mu Ya Allah. Jauhi aku dari hati yang penuh rasa marah, dari rasa resah, dari menyesali takdir ini. Engkau lapangkan dadaku Ya Allah menerima musibah ini.
Atau Engkau mahu mengangkat darjat ku Ya Allah. Alhamdulillah, kurniakan aku kedudukan yang tinggi di sisi Mu. Perbaiki akhlak ku Ya Allah, hapuskan sifat-sifat mazmumah dari diri ini dan hiasi aku dengan-dengan sifat-sifat mahmudah. Jadikan aku hambaMu yang solehah.
Sekejap hati ku tenang mengingati bahawa aku insan terpilih menerima dugaan ini. Tetapi apabila iblis dan syaitan dapt menyelit di celah-celah hati, aku jadi gelisah semula. Aku amat bimbang aku jadi kufur kerana mempersoalkan takdir. Astagafirrullah, ampun keterlanjuranku Ya Allah. Selamatkan aku dari bisikan dan hasuta iblis dan syaitan yang direjam dan dilaknatkan.

Begitulah aku sepanjang malam. Tidak mampu tidur nyenyak. Akhirnya aku habiskan malam itu di atas sejadah dengan menangis, merayu dan merintih memohon keampunan dan petunjuk dari Yang Maha Esa. dalam sujud tahajud, taubat dan hajat, aku panjatkan doa tak berhenti-henti. Pada siapa lagi harus aku merayu selain daripada Mu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar. Sedar-sedar telah masuk waktu bersahur.
Aku tahu Abah memerhati diriku. Mula-mula dia hanya membiarkan aku untuk melalui tempoh bertenang, tetapi dia juga tahu aku tidak mungkin dapat bertenang. Aku gelisah siang dan malam. Akhirnya Abah membuka mulut. Abah meminta aku tabah menerima takdir ini. Aku perlu yakin dengan aturan hidup yang telah ditetapkan untuk aku. Jangan cuba menyalahkan takdir, jangan menyesali takdir yang telah tertulis. Abah mahu aku melihat sisi positif dugaan ini. Kanser bukan bermakna hidup kita telah musnah. Ramai yang berjaya menentang kanser dengan izin Allah. Yang penting aku mesti positif, berusaha mencari penawarnya.
Ohhh ... terima kasih Abah. Aku peluk Abah dan menangis sepuas-puasnya. Rasanya aku tumpahkan semua kesedihan aku di atas bahu Abah. Terimakasih sayang kerana memahami perasaan aku, kerana memahami aku perlukan kata-kata peransang dan dorongan untuk mengembalikan semangat aku. Selepas solat subuh aku melelapkan mata. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa mengantuk yang teramat sangat.
No comments:
Post a Comment