Monday, September 22, 2014

OWOJ

Aku dah menyertai group whatsapp Cancer Survivor sejak bulan Mei yang lalu.  Keahliannya terus bertambah dari semasa ke semasa tapi rasanya masih kurang dari 40 orang. Kami dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Daripada group ni, kami buka pula satu lagi group Cancer Survivor - Breast Cancer (CSBC). Group ni menyasarkan hanya pengidap kanser payudara.  Hampir 80% ahli CSBC adalah juga ahli group induk Cancer Survivor.


Walaupun kami tak mengenali satu sama lain secara berdepan, tetapi hubungan kami akrab sekali. Bila ada yang patah semangat, ketakutan menghadapi kenyataan, yang bersedih atau yang keliru, kami sama2 menghulurkan semangat dan empati.  Secara diam aku yakin ramai yang seperti aku, turut menangis apabila mendengar penderitaan sahabat2 kami ini. Tapi tak akan sama sekali kami nyatakan kesedihan itu. Mereka perlukan peransang, mereka ingin mendapatkan kekuatan dan sokongan moral .... kita jangan hampakan mereka.

Daripada ramai2 ahli Cancer Survivor ni, aku pernah bertemu hanya dengan Yan seorang pengidap kanser payudara tahap 3 yang juga tinggal di Pulau Pinang. Dia tersangat aktif menyertai persatuan2 lain seperti MAKNA di samping menjalankan perniagaan.

Alhamdulillah sejak beberapa hari lepas group Cancer Survivor telah bersepakat nak buat aktiviti yang Insyaallah banyak manafaatnya. Kami cadangkan untuk membaca Al Quran secara berjemaah on-line.  Sebenarnya konsep ini telah lama dilaksanakan di Malaysia dan Indonesia iaitu "One Day One Juzuk" (ODOJ).  Tetapi atas persetujuan bersama, kami membentuk aktiviti "One Week One Juzuk" (OWOJ).  


OWOJ menetapkan setiap orang perlu menghabiskan satu juzuk setiap minggu sebelum berubah ke juzuk yang lain pulak.  Ianya bukan tadarus kerana tidak ada sesiapa yang akan menyemak bacaan kita. Kita hanya perlu jujur kepada diri kita sendiri. Ianya lebih kepada motivasi supaya setiap orang menghabiskan sekurang2 tiga mukasurat sehari membaca Al Quran.  Setiap orang mesti berdisiplin supaya dapat menyelesaikan tugasan diberi dalam tempoh seminggu.

Kenapa seminggu dan bukan sehari?  Bukan semua ahli fasih membaca Al Quran. Kita tak mahu kerana mahu mengejar masa yang singkat menyebabkan bacaan banyak yang salah, dikhuatiri niat asal untuk mengimarahkan naskah Al Quran berakhir dengan mendapat laknat Al Quran pulak.  Lagipun sebahagian besar ahli bekerjaya dan hanya mempunyai waktu lapang di malam hari. Kita tidak mahu mereka merasa membaca Al Quran ini berupa satu tekanan. Kita hendak semua orang merasa kemanisannya kalam Allah ini.

Sehingga hari ni dah 24 ahli menyatakan keinginanan untuk menyertainya. Insyaallah OWOJ akan dimulakan pada hari Jumaat ini. Semoga ibadah kami diterima Allah dan diampunkan segala dosa2 kami dan dilindungi dari segala musibah.  Aamiin


No comments:

Post a Comment